Sunday, May 01, 2011

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

 

1.         PENUBUHAN

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970sebagaimana diperuntukan pada Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar fatwa di peringkat Kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Sementara MKI yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri merupakan badan penyelaras di peringkat Persekutuan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada Mac 1968.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah bersidang buat pertama kalinya pada 23 hingga 24 Jun 1970 yang dipanggil dengan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tersebut berlangung sebanyak 18 kali dan yang terakhir diadakan pada 14 Mei 1980. Kemudiaannya penggunaan perkataan Persidangan ditukar kepada perkataan Muzakarah. Maka pada tarikh 28 hingga 29 Jun 1981 diadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Kali Pertama.

2.      TUGAS

Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengikut pada Perkara 14 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa ini akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.

3.       KEANGGOTAAN

Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdiri daripada:

i.    Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di kalangan ahlinya;

ii.    Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam;

iii.   Lima orang alim ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan

iv.   Seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau dari profession undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan

Mengikut Perkara 13 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menyatakan bahawa tiap-tiap ahli melainkan Pengerusi dan Mufti-Mufti hendaklah daripada calon-calon yang diperakukan oleh Perdana Menteri, selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun, tetapi ia adalah layak dilantik semula. Ia hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

4.         KAEDAH PENGELUARAN HUKUM/PANDANGAN SYARAK OLEH JAWATANKUASA FATWA

             Pengeluaran hukum/pandangan syarak oleh Jawatankuasa adalah melalui dua cara ;

i. Arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

               Proses pengeluaran hukum/pandangan syarak ini bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan hukum atau pandangan syarak tentang sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa akan diadakan dan apabila Mesyuarat bersetuju mengeluarkan hukum atau pandangan syarak, maka hukum atau pandangan syarak berkenaan akan dirafa’kan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Hukum atau pandangan syarak yang telah diterima oleh Majlis Raja-Raja tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri-negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

ii.            Tanpa Arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Proses pengeluaran hukum atau pandangan syarak ini adalah melalui permohonan dari masyarakat Islam atau pihak-pihak tertentu. Isu yang dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Syariah atau Mesyuarat Panel Kajian Akidah mengikut kategori isu yang dibincangkan. Seterusnya satu kertas kerja berserta keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah / Akidah akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Keputusan dan pandangan yang diputuskan dalam Muzakarah ini akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa / Perundingan Syarak Negeri-negeri dan negeri boleh meminda keputusan tersebut atau menerimanya tanpa pindaan. Maka seterusnya dilakukan proses pewartaan sebagai fatwa di peringkat negeri-negeri.

Pihak-pihak tertentu yang pakar akan dipanggil untuk memberikan pandangan dan penjelasan terhadap isu-isu yang tidak jelas atau memerlukan penjelasan dan taklimat terperinci supaya semua Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mendapat maklumat yang tepat bagi membuat dan memutuskan keputusan.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my

0 comments:

Post a Comment