Sunday, March 20, 2011

Sistem Pendidikan Sekular?

Salam Semua Pembaca & semua warga e-kampung yang dikasihi & dihormati sekalian, Semoga sentiasa berada dalam rahmat & perlindungan ALLAH..

Terdetik dihati abg utk bincangkan satu persoalan yang bermain didalam fikiran abg..

Beberapa bulan yang lepas kita telah dikejutkan dengan penarikan diri Saudara Bob Lokman sebagai salah seorang juri tetap rancangan “reality show” yang berbentuk pertandingan lawak yang tidak asing lagi bagi penonton di Malaysia.

Namun setelah ditemuramah, mengapakah dia mengambil tindakan yang sedemikian, dia menjawab kerana sistem pendidikan yang ada didalam negara kita ini yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berubah.

Bukannya Fahaman Politik yang cuba diketengahkan…

Keprihatinan & kebimbangan beliau ini setelah abg fikirkan sememangnya berasas. Gejala sosial yang berleluasa & bermaharalela dikalangan remaja kita kini adalah secara langsung berlaku disebabkan sistem pendidikan kita yang tidak menekan peranan agama dalam setiap mata pelajaran yang diajar.

Sepatutnya kewujudan & kekuasaan ALLAH perlu diterapkan kedalam semua mata pelajaran. Guru seharusnya mengaitkan keagungan ALLAH & Islam didalam setiap bab atau ilmu yang diajarkan kepada para pelajar.

Contohnya:

  1. Jika seorang Guru mengajar mata pelajaran Geografi, guru tersebut boleh mengaitkan yang setiap keadaan muka bumi & fenomena alam ini adalah terjadi dengan kehendak & ciptaan ALLAH.
  2. Guru sejarah boleh mengaitkan kejadian sejarah masa lampau adalah berlaku dengan kehendak ALLAH, ALLAH yg MAHA Mengetahui apa yang baik & buruk kepada sesuatu bangsa, Namun nasib sesuatu bangsa itu tidak akan berubah selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya.
  3. Guru Matematik pula boleh mengaitkan kehebatan pencipta-pencipta teknik dalam Matematik yang hebat satu masa dahulu seperti Al-Kuwarizmi yang mana merupakan seorang tokoh matematik yang hebat dengan ilmu matematiknya dan juga hebat dengan amal ibadahnya.

Banyak lagi yang boleh para Guru kaitkan segala bentuk mata pelajaran dengan keagungan & kehebatan ALLAH S.W.T & juga Islam.

Seperti contoh yang ke-3 diatas, mengaitkan ilmu itu dengan tokoh-tokoh Islam yang hebat ini akan menyebabkan para pelajar kita akan menjadikan Tokoh hebat ini sebagai Idola mereka bagi mendalami ilmu yang diterokai oleh tokoh yang hebat itu.

Para Pendidik perlu bijak dalam mengaitkan Islam dalam semua seisi pembelajaran bagi menanam cinta & takutkan ALLAH sepanjang masa dalam setiap diri para pelajar.

Pelajar yang terdedah dengan keagungan ALLAH ini akan membentuk sahsiah jati diri yang tinggi, beriman & berakhlak mulia.

Hati mereka ini akan sentiasa berpaksi pada landasan iman dalam membuat sebarang keputusan dalam kehidupan sehariannya.

Berbeza sekali dengan apa yang kita lihat kini, ramai diantara remaja kita menjadikan para penyanyi & pelakon sebagai Idola mereka.

Penyerapan nilai-nilai Islam perlu kita terapkan dengan lebih serius & intensif kepada anak-anak kita. Oleh kerana pendidikan adalah merupakan satu medium yang paling hampir dengan anak-anak kita yang mana mereka telah mula bersekolah sejak berumur seawal 5 tahun sehingga ke umur 17 tahun.

Pengisian pendidikan inilah yang amat penting dalam membentuk karektor seseorang manusia. Jika baik suntikan Ilmu yang diberikan kepadanya pasti dia akan menjadi seorang yang berguna & beriman.

Pendidikan yang betul-betul berteraskan & berpandukan Islam pasti akan memberi impak yang baik kepada anak-anak dalam menempuhi kehidupan sekarang yang semakin mencabar.

Apa yang paling menyedihkan lagi ada dikalangan kita sendiri yang tidak mempercayai & yakin dengan keupayaan pendidikan berteraskan Islam dalam melahirkan generasi yang maju & hebat dalam bidang-bidang professional.

Mereka ini berprasangka bahawa anak-anak yang berpendidikan Islam akan menjadi lemah & mundur. Tidak produktif & tidak berdaya saing.

Anggapan inilah yang menyebabkan kita sendiri sentiasa mundur & lemah kerana kurangnya keyakinan kita kepada ajaran Nabi Junjungan Besar kita.

Ilmu yang bersadurkan Iman akan melahirkan ramai cendekiawan yang hebat satu masa dahulu. Adakah mustahil ianya akan berulang kembali???…

Sesungguhnya tidak ada yang mustahil dengan Izin-NYA….

Persoalannya sekarang bagi anda sendiri para pembaca, adakah sistem pendidikan negara kita sekarang mengamalkan sistem pendidikan Islam atau sekular?

Sekian, Wassalam….

0 comments:

Post a Comment