Showing posts with label Hadith. Show all posts
Showing posts with label Hadith. Show all posts

Saturday, July 02, 2011

Renungan Buat Hati

"Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan.(Yaitu) di hari harta dan anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih" (Asy Syuara: 87-89)

Amalan yang dilaknat Allah SWT dan para malaikat

Imam Abdullah bin al-Mubarak R.A. telah meriwayatkan di dalam kitab Al-Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki iaitu

Khalid bin Maadan yang pernah berkata kepada Muaz: “Wahai Muaz! Ceritakanlah kepadaku sebuah hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah s.a.w..

Lalu Muaz menagis sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadaku:

Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu ceritakan kepada kamu sebuah hadith jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manafaat akan dikau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujahmu di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.

Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:

“Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik ke atas”

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakanya kerana ia mengkehendaki dengan amalannya akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripad itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang, puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu ( melintasi langit yang pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yan ketiga maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

“ Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ‘ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ‘ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ‘ujub terhadap dirinya.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalan itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang pertama:

“ Berhenti kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanya di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad , ia sangat hasud kepada orang berlajar ilmu dan beramal seperti amalanya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini melintasi aku.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

“ Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini tidak melintasi aku.”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu tiga ribu malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintulangit tersebut:

“ Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir ( seorang yang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang lain). Aku akan menghalang amalan orang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia bukan beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah ber firman kepada para malaikat –Nya:

“ Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak mengkehendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. Ia hanya mengkehendaki sesuatu yang lain daripadaKu oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”

Lalu para malaikat tadi berkata: “Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami.”

Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.

Mendengar sabda Rasulullah s.a.w. ini lalu Muaz menangis seraya berkata:

“Engkau adalah Rasulullah s.a.w. sedangkan aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera”.

Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan”.

Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran (golongan ulama) dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu di hadapan mereka .

Dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat . Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu , maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia,

maka mencarik akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: “ Demi yang mencarik dan carikkan .” (al-Nazi’at: 2)

Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang mencarik itu? Muaz bertanya: “Ya Rasulullah, sebenarnya siapa mereka?” Lalu Nabi s.a.w. menjawab: “Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang.”

Muaz bertanya: “Ya Rasulullah siapakah yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”

Nabi s.a.w. menjawab: “Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”

Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca al-Quranul Karim

lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadith yang besar ini.”

~dipetik dari kitab Bidayatul Hidayah-Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Kiriman: Gee @ e-kampung

Read more »

KASIH KELUARGA MEMBAWA KE SYURGA - Khutbah Jumaat ( 12 Mei 2006M / 14 Rabi’ulakhir 1427H )

 

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ فِى كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ: وَوَصَّيْنَا الإِْنْسَانَ بِوَالِِدَيْهِ إِحْسَانًا. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله ُوَحْدَهُ َلاشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّاىَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Marilah kita gunakan kesempatan pada hari ini untuk mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan segala perintah-Nya dengan penuh ketaatan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan hidup kita diberkati dan dirahmati Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t. kepada setiap Muslim. sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam Al-Quran s.w.t. dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa. Dimana Allah s.w.t. menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al- Isra’ ayat : 23

Yang bermaksud : ” dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduan-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tatapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )”.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian,

Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tatapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.

Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu ? sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10 MEI setiap tahun tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak, kita sememangnya dituntut untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah menyusu, mengasuh dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahqaf ayat 15 :

Yang bermaksud : ” dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya”.

Justeru itu, hari ibu yang kita sambut sawajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan dinilai sejauhmana kita mensyukuri serta menghargai pengorbanan ibu kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai ibu. Dengan demikian akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang, melahirkan rasa hormat yang sedalam-dalamnya serta berterima kasih.

Hadirin sidang Jumaat yang berbahagia,

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk tunjuk ajar yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. :

” عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: رِضَا الله في رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخْطُ اللهِ في سَخْطِ الْوَالِدَيْنِ.
(رواه الترمذي)

Yang bermaksud : ” Dari Abdullah ban Amru r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa ” .

Marilah kita mengambil kesempatan bersempena Sambutan Hari Keluarga Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang akan disambut pada 15 MEI ini untuk sama-sama merenung dan melakukan muhasabah diri. Apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita, khususnya mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa.

Kita sering dikhabarkan dan digemparkan dengan pelbagai masalah sosial terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Gejala yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga. Maka keadaan ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan sesebuah keluarga dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Hadirin sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah institusi yang aman dan bahagia bagi seluruh ahli keluarga. Maka ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak terutama dalam menyelesaikan masalah anak-anak. Dalam hal ini, Al-Quran dengan jelas memberi panduan kepada ibu bapa, bagaimana memberi perhatian dan didikan yang sempurna kepada anak-anak seperti yang digambarkan dalam surah Lukman ayat :13 dimana Allah s.w.t. memuji dan menceritakan didikan yang diberikan oleh Lukman kepada anaknya dengan firman-Nya yang berbunyi :

Yang bermaksud : ” dan ( ingatlah ! ) tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain ) sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar ! ” .

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Oleh itu, bersempena dengan sambutan hari ibu dan hari keluarga pada kali ini marilah kita sama-sama menghayati dengan mengisi sambutan hari tersebut mengikut kehendak Islam .

Usaha meraikan sambutan seumpama ini perlu diselarikan dengan kehendak syara’ agar ianya memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga terutama sebagai satu usaha mendidik dan memperkasakan lagi sesebuah keluarga menjadi keluarga yang harmoni dan bahagia serta diredhai s.w.t. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada beberapa perkara diantaranya :

Pertama : Memberi Keutamaan Kepada Asas Pembinaan Keluaga.

Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Maka atas sebab inilah Agama Islam melarang keras umatnya samada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam .

Kedua : Memahami Setiap Tanggungjawab dan Amanah.

Setiap ibu bapa hendaklah faham dan mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing terutama dalam memberi perhatian dan didikan untuk anak-anak dengan betul menurut kehendak ajaran Islam .

Ketiga : Mengakui dan Bersedia Menerima Kejadian Diri.

Setiap pasangan hendaklah akur dengan perintah Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa suami ( kaum lelaki ) adalah sebagai ketua bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, suami hendaklah menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab, sementara isteri hendaklah taat dan menghormati suami.

Keempat : Ibu bapa menjadi Contoh Terbaik.

Hendaklah sentiasa mendidik dan menanam didalam diri anak-anak sifat taat dan patuh kepada kedua ibu bapa serta sentiasa memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak .

Kelima : Memupuk Kasih Sayang Yang Berpanjangan.

Hendaklah sentiasa menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra, saling hormat menghormati dan selamat.

Maksudnya : ” dan juga mereka ( yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa dengan berkata : ” wahai tuhan kami ! berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa “.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيمُ. أَقُوْلُ قَوْلِىْ هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Kiriman: Gee @ e-kampung

Read more »

Sunday, June 05, 2011

Hukum Menggunakan Pewarna Rambut

Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Soal Jawab Kontemporari, Soal Jawab Pakaian dan Perhiasan
Oleh : Mufti Brunei

PEWARNA RAMBUT

Fatwa siri : 22/2001

Di masa ini telah banyak berjual di pasaran jenis pewarna rambut yang bertanda “cap” halal oleh Kerajaan Malaysia. Akibat daripada tanda halal tersebut orang-orang Islam “kitani” khususnya di kalangan pelajar telah menggunakan bahan pewarna tersebut dengan tiada keraguan.

Persoalannya:

(i) Pada setakat manakah kehalalan pemakaian bahan pewarna tersebut?

(ii) Apakah ianya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan besar?

Jawapan:

Perkataan halal pada kebiasaanya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik,
penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh
orang-orang Islam.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu.

Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan
tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Pada suatu masa dahulu pernah ditanya kepada Jabatan ini tentang pewarna rambut ‘dye’ yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut. Tentulah pewarna ‘dye’ itu tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL.

Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat
tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini.

Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.
(Hadits riwayat Muslim)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan junggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda:

Maksudnya:
Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.
(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah.

Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nashrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban.

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan yang menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya:
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawjiyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah.

Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.

Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya.

Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau
. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran,sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

WaLlahua’lam bissowab

Rujuk : http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Fatwa%20pilihan/2011/Bil%206-2011%20-%20Fatwa%2022%202001%20-%20MEWARNA%20RAMBUT.pdf

Kiriman: Gee @ e-kampung

Read more »

Sunday, May 01, 2011

Hadith 144

Hadith 144:

Daripada Annas ra katanya, “Tiga orang telah datang mengunjungi rumah isteri-isteri Nabi Muhammad saw bertanyakan hal ibadah Rasulullah. Ketiga mereka diberitahu, seolah-olah mereka merasa sedikit beribadah.

Mereka berkata, dimanakah kita hendak diukur dengan Rasulullah saw, Baginda telah diampuni dari dosa-dosanya yang terdahulu dan terkemudian. Maka tidak mengapalah Baginda mengerjakan ibadah dengan cara sedikit.

Salah seorang daripada rombongan itu berkata, “Sesungguhnya aku sentiasa hendak mengerjakan sembahyang diwaktu malam”. Salah seorang lagi berkata, “Aku hendak berpuasa sepanjang masa, tidak pernah tinggal (walaupun  sehari)”. Seorang yang lain pula berkata, “Aku hendak menjauhkan diri daripada perempuan (tidak berkahwin) selama-lamanya”. Maka dating Rasulullah saw menemui mereka lalu bersabda, “Kamu telah berkata sedemikian rupa, tidakah aku ini orang yang paling takut dari kalangan kamu dan paling bertakwa kepada Allah SWT? Tetapi aku berpuasa, aku berbuka, aku juga bersembahyang, aku juga tidur dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yang tidak suka menurut jejak langkah ku bukanlah daripada aku”.

(Al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadith:

1. Sahabat-sahabat Rasulullah saw sentiasa menjadikan Baginda sebagai tempat rujukan dan tauladan.

2. Islam melarang seseorang yang berbangga dengan amalannya dan menceritakan pula kepada orang lain.

3. Setiap orang hendaklah beribadat mengikut sunah Rasulullah saw tanpa melampaui batas serta bercanggah dengan syarak.

Dipetik daripada Kitab Riyadhus Solihin, Jilid 1.
Karangan Sheikh Imam Nawawi dan diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Kiriman: Gee @ e-kampung

Technorati Tags:

Read more »